Pengetua SMKCFB

           Puan Oi Ai Lin mula melapor diri untuk menjawat jawatan Pengetua di SMK Convent Father Barre pada 26 September 2010. Beliau berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan pengurusan sekolah. Pernah memegang jawatan Guru Kanan Teknik dan Vokasional di SMK Guar Chempedak dan SMK Bandar Sungai Petani. Pada 16 Mac 2003, beliau dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di SMK St. Theresa dan pada 16 Januari 2006 di SMJK Sin Min. Sebelum bertugas sebagai Pengetua, beliau pernah menjadi Penolong Kanan Pentadbiran di SMJK Sin Min selama 4 tahun mulai 16 Oktober 2006.

            Ketika bertugas di SMJK Sin Min, beliau disenangi dan mendapat kerjasama yang padu daripada barisan pentadbir dan guru-guru. Pada tahun 2009, SMJK Sin Min telah dianugerahkan Sekolah Kluster Kecemerlangan . Kejayaan sekolah ini telah melayakkan beliau mengikuti kursus jangka pendek iaitu ‘Postgraduate Certificate in School Leadership & Management’ di King’s College , London selama 8 minggu bermula pada 17 Mei 2009 hingga 11 Julai 2009.

            Merupakan Ketua Panel Penggubalan Soalan Peperiksaan Percubaan Bersama Negeri Kedah bagi matapelajaran Perdagangan mulai tahun 2006 hingga kini. Beliau seorang yang aktif dalam Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan ( KPPK ) dan pernah menjawat jawatan AJK Biro Wanita KPPK Semenanjung Malaysia dan AJK KPPK Cawangan Kedah dari tahun 2005 hingga 2008. Sering menghadiri seminar dan kursus yang dianjurkan oleh KPPK di seluruh Malaysia.

            Merupakan seorang yang berdedikasi tinggi dan dikagumi kerana kerja keras untuk melahirkan murid-murid yang berilmu, kreatif, berdaya saing dan bersahsiah tinggi. Beliau berharap kejayaan sekolah dalam bidang kurikulum dan kokurikulum dapat ditingkatkan dengan kerjasama dan permuafakatan serta interaksi antara beliau dengan seluruh warga sekolah, PIBG dan komuniti setempat. Beliau turut berazam untuk menjadikan SMKCFB sebagai sebuah Sekolah Berprestasi Tinggi pada masa terdekat ini.